Kuala Lumpur
i.
'Senandung Malam' destinasi Kuala Lumpur
bergemerincing pada roda & landasan -
itu denyut-degup rinduku,
antara tautan sahutan semboyannya -
itu jeritan batinku;
aku ingin lihat sejuta wajah di sana
aku ingin dengar seribu kisah di sana
aku ingin rasa selembar tawa-duka di sana.
tujuh pagi di stesen keretapi
Kuala Lumpur o Kuala Lumpur
inikah wajahmu bersembunyi malu
di sebalik kabus & jerebu;
monoksida & sulfida terbatuk-batuk aku.
ii.
Chow Kit Road.. Chow Kit Road..
gambarannya tepat seperti dalam lagu
di dadanya berdiri rumah tumpanganku.
jam pukul satu -
perut lapar aku
mengajar & mengajakku:
pusing keliling bandaraya
pusing keliling pasaraya
di persimpangan jalanraya
lemas aku di segara manusia;
mereka tak pernah kenal aku..
pada sebuah toko buku lesu
terlihat kelibat sebuah buku
mengumpul debu tak banyak laku
persis antologi puisi karyaku.
ingin kulawati Muzium Negara
tetapi hampa aku di sana
kerana seperti di mana-mana
bahan pamerannya hampir sama
sedang warisan & tradisi
cuma artifak nan pasti rapuh jua:
di hujung balang-balang kaca
di dada muzium.
di Balai Seni;
ada warna-warna menari
ada pesta meriah berseri
indah gemilang suasana seisi
namun rupanya hanya ilusi
impianku di siang hari;
kerana cuma aku sendiri
di dingin galeri nan sepi.
terhimpit di celah bandaraya -
suatu ketika sebuah pasar basah
kini sebuah Pasar Seni;
dalam bungkusan elok
seni, warisan & tradisi terjual rapi.
dalam kederasan waktu
di sebalik menara telah ada warna ungu
berkumandang azan Maghrib nan sendu.
Masjid Negara
indah neon di persekitaran
namun indah lagi di mihrabnya;
kerana telah kutemui kedamaian.
iii.
Hentian Puduraya
di sini prasasti jejakku nan akhir -
ada esok pasti aku kembali;
aku ingin lihat sejuta wajah di sini
aku ingin dengar seribu kisah di sini
aku ingin rasa selembar tawa-duka di sini.
nostalgia di Kuala Lumpur
kurakamkan di baris-baris puisiku ini.
Ahmad Md Tahir, Bunga Makna
No comments:
Post a Comment